Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Benteng: Tentera Darat tahan 24 PATI termasuk 3 warga Bangladesh di lorong tikus

Op Benteng: Tentera Darat tahan 24 PATI termasuk 3 warga Bangladesh di lorong tikus

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 8 Jan – Cubaan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Bangladesh untuk memasuki serta keluar dari negara ini gagal apabila ditahan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di pesisir pantai Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor, pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, penahanan dilakukan melalui 3 siri tangkapan Operasi Benteng (Op Benteng) di bawah kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

Menurutnya, tangkapan dibuat hasil pemerhatian anggota petugas Pos Pemerhati yang telah mengesan sebuah bot pancung sedang menurunkan PATI di persisir pantai berkenaan dan anggota ronda yang mengesan pergerakan PATI memasuki sebuah gudang lama bersebelahan Pasaraya sekitar kawasan tersebut.

“Pasukan telah mengatur gerakkan tim Quick Reaction Force bersama Tim Dron dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk membuat penjejakan dan mengepung kawasan tersebut,

“Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut dimaklumkan dan membuat kawalan di sekitar kawasan persisiran pantai berhampiran lokasi,

“Hasil serbuan yang dilakukan pada jam 10 malam telah berjaya menahan 18 PATI warga negara
Indonesia yang baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” jelas kenyataan itu.

Pada jam 3.55 pagi pula, hasil penjejakan dan penggeledahan di kawasan Ladang Sungai Tengah, pasukan telah menahan 3 PATI warga Indonesia dan pada jam 06.50 pagi, pasukan menahan 3 PATI warga negara Bangladesh di sekitar kawasan Kampung Punggai.

“Kesemua PATI tersebut dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak sah,

“Kesemua 24 PATI yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki, 3 perempuan, 21 warga Indonesia dan 3 warga Bangladesh yang berusia sekitar 21 hingga 47 tahun,

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 7,972.28 melibatkan wang tunai matawang Malaysia, Matawang Indonesia, telefon pintar, barangan kemas serta jam tangan pelbagai jenama,

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia,

TDM akan terus mengatur gerakan Tim QRF bagi menjejak saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply