Home PolitikBarisan Nasional UMNO bawa usul putus hubungan dengan Bersatu dalam Perhimpunan Agung

UMNO bawa usul putus hubungan dengan Bersatu dalam Perhimpunan Agung

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jan – UMNO akan membawa usul bagi memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari depan.

Selian itu, UMNO juga akan membentangkan usul untuk mempertahankan hubungan dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) setelah 22 bulan bersama sebagai pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bagi membolehkan ia dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti, mengikut peruntukan perlembagaan UMNO.

Beliau berkata, terdapat 3 usul utama yang dibangkitkan oleh 189 Bahagian-Bahagian UMNO yang telah bersidang di seluruh negeri baru baru ini.

“Mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama sama sebagai pembangkang,

“Memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),

“Menggesa supaya Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat tertakluk kepada keadaan COVID-19,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.

Shahril menambah, mesyuarat juga memutuskan menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu mangsa-mangsa banjir termasuk pasca banjir.

“Bagi tujuan menyelaras semua gerak penyampaian bantuan kepada mangsa banjir, sebuah pasukan khas UMNO menangani bencana ditubuhkan dipengerusikan Datuk Seri Shahidan Kassim,”ujarnya.

Pada masa yang sama, Shahril menjelaskan, mesyuarat turut mengambil maklum pertukaran jawatan Setiausaha BN yang digalas semula secara tradisinya oleh Setiausaha Agung UMNO.

“Perkara ini sudah mendapat persetujuan lisan presiden-presiden parti komponen dan akan dibahasakan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa terdekat,” jelasnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply