TAWAU, 7 Jan – Pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) di Tawau secara rasminya ditamatkan dan telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hospital berkenaan akan dijadikan wad bagi merawat kes COVID-19 berisiko rendah dan diuruskan sepenuhnya oleh Hospital Tawau.
Panglima Markas 13 Briged Infantri Malaysia (13 Briged), Brigedier Jeneral Abdul Razak Hussain berkata, sejak dilancarkan pada 20 Oktober tahun lalu, lebih 1,366 pesakit telah menerima manfaat perkhidmatan perawatan dan perubatan yang disediakan di hospital itu.
“HMATM juga telah berjaya menurunkan beban perawatan Hospital Tawau sebanyak 15 peratus dan memberi kapasiti tambahan katil sebanyak 25 peratus,
“Ini telah memberi ruang tambahan kepada Hospital Tawau untuk fokus kepada rawatan kes COVID-19 di samping rawatan kes-kes bukan COVID-19 yang stabil diuruskan oleh HMATM,
“Hospital ini juga menempa sejarah baharu apabila menjadi hospital medan pertama ATM yang menyediakan wad multidisiplin 100 katil selain turut menyediakan perkhidmatan Wad Onkologi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Hospital Medan ATM membabitkan Komander Hospital Medan Tawau Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad kepada Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad, pada Rabu.

Serah terima tugas Hospital Medan ATM membabitkan Komander Hospital Medan Tawau Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad kepada Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad.
Abdul Razak menjelaskan, HMATM diserahkan kepada Hospital Tawau adalah disebabkan keperluan untuk meneruskan operasi kini di lihat tidak lagi mendesak.
“Penarikan keluar anggota HMATM akan membantu Pusat Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) di dalam memberi bantuan menangani pandemik COVID-19 di Semenanjung terutamanya di Lembah Klang,
“Di samping itu, ia juga akan meningkatkan siapsiaga PKAT bagi di aturgerak di dalam misi-misi yang lain seperti bantuan bencana banjir dan bantuan-bantuan lain yang lebih mendesak. –airtimes.my