Home Pertahanan dan Keselamatan 49 PATI dan 2 tekong dicekup menerusi Op Benteng

49 PATI dan 2 tekong dicekup menerusi Op Benteng

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Operasi Benteng (Op Benteng) telah berjaya menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 tekong, semalam.

Op Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dalam mengawal sempadan negara selain menyekat penularan wabak COVID-19 turut merampas 7 buah kenderaan darat dalam operasi tersebut.

Pada masa yang sama, beliau berkata, sebanyak 111 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksanakan semalam melibatkan ATM, PDRM dan RELA dalam Op Penawar iaitu sebanyak 41 SJR.

“Selain itu, Op Benteng PDRM telah melaksanakan sebanyak 61 SJR dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” hari ini.

Sementara itu, bagi Task Force Operasi Pematuhan pula, Ismail Sabri menjelaskan, PDRM telah menahan 194 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesemuanya telah dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (74), tidak memakai pelitup muka (84), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (25) dan lain-lain (11),” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan, PDRM juga telah membuat 40,389 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosuder operasi standard (SOP) PKPP semalam.

“Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,511 anggota telah membuat pemantauan di 3,388 pasar raya, 4,227 restoran, 1,580 penjaja, serta 1,313 di kilang, 3,133 bank dan 559 pejabat kerajaan,

“Selain itu juga, turut dipantau adalah 900 terminal pengangkutan darat. 233 terminal pengangkutan air dan 66 terminal pengangkutan udara,” ujarnya.

Kerajaan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan setiap agensi keselamatan akan terus memperketatkan kawalan kawasan termasuklah lorong tikus. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply