[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=svrhsqTb-DE[/embedyt]
MELAKA, 27 Dis – “Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Bekas Panglima 21 Grup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Zolkopli Hashim berasa bangga setelah anaknya berjaya menamatkan Kursus Asas Komando siri 2/2020 yang penuh rintangan dan halangan di Kem Sungai Udang, Melaka, pada 24 Disember lalu.
Zolkopli Hashim berkata, sebagai seorang bapa kepada Leftenan Muda (Lt M) Zulfadhli berasa banga kerana legasi sebagai anggota Komando diambil alih oleh anaknya sendiri.
“Kemahuan Zulfadhli ingin menyertai Komando menjadi tanda tanya sama ada serius atau pun sebaliknya, namun sebagai ayah, saya tetap memberikan kata-kata semangat untuk Zulfadhli berjaya menamatkan kursus yang bakal ditempuhi,
“Pada awalnya selepas tamat pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Zulfadhli tidak menunjukkan minat kepada kerjaya tentera,
“Namun selepas bekerja di sebuah syarikat swasta selama enam bulan, beliau mula menunjukan minat untuk memasuki tentera,” katanya ketika ditemui pemberita semasa majlis penutup Kursus Asas Komando di kem Sungai Udang Melaka.
Zolkopli meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dan bangga terhadap anaknya kerana telah dianugerahkan beret hijau serta berjaya menamatkan kursus tersebut.
“Ini masih lagi titik permulaan, mereka belum lagi menjadi komando yang sebenar, banyak lagi halangan dan rintangan yang perlu dilalui,
“Kita telah membuat kajian untuk melatih seorang anggota komando yang sebenar perlu mengambil masa selama 8 tahun,” ujarnya.
Dalam pada itu, seramai 7 orang pegawai dan 39 anggota lain-lain pangkat (LLP) Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/2/2020 setelah melalui pelbagai cabaran dan peringkat latihan sejak 3 bulan lalu.
Majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh Ketua Staf Am Markas 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Brigedier Jeneral Khairul Anuar Yaakob di Pantai Betutu Laut, Kem Sungai Udang, Melaka pada 24 Disember lalu.-airtimes.my