SUBANG, 15 Dis – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan peralatan perubatan ‘Rapid Test Kit (RTK) Antigen’ COVID-19 sebanyak 110,250 buah daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) ke Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lepas.
TUDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, penghantaran bantuan perubatan dari Pangkalan Udara Subang ini telah menggunakan pesawat angkut C130H dari No 14 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan.
“RTK Antigen tersebut adalah bagi kegunaan PERKESO dalam melaksanakan Program Saringan COVID-19 bagi kumpulan pekerja termasuk pekerja asing yang bekerja di Sabah dan Labuan dalam memastikan keselamatan kesihatan para pekerja serta memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia,
“Selain Sabah dan Labuan, negeri-negeri lain yang turut terlibat dalam program yang dilaksanakan oleh PERKESO adalah Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya.
Pesawat ini telah diterbangkan oleh 2 set jurutebang, set pertama diterbangkan oleh Mejar Mohd Amin Ibrahim TUDM dan Kapten Azizul Azwan Zulkifly TUDM sebagai pembantu juruterbang.
“Set kedua pula adalah Kapten Mohamad Zulkarnain Mohamad Johari TUDM selaku juruterbang dan Kapten Ahmad Khuzairey Md Nasir TUDM sebagai pembantu juruterbang,
“Turut terlibat adalah Jurutera Penerbangan, Mejar Mohd Syahir Masri TUDM; Jurumalim, Mejar Izam Fareq Hassan TUDM dan Loadmaster, FSjn Mohd Bazriza Abdul Kadir dan Sjn U Muhamad Anuar Mohd Yusoff,” ujarnya.
Dalam pada itu, TUDM turut membawa peralatan set Personal Protective Equipment (PPE) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menampung keperluan alatan tersebut di pusat-pusat kesihatan negeri Sabah. – airtimes.my
Gambar galeri: