Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 1 RRD secara rasmi diisytihar Batalion Infantri Istiadat

1 RRD secara rasmi diisytihar Batalion Infantri Istiadat

by Jassmadi Jakariya

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain hari ini telah mengisytiharkan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) sebagai Batalion Infantri Istiadat di padang kawad 1 RRD Kem Wardieburn.

Selaku batalion yang terkanan di dalam RRD, 1 RRD telah diberikan penghormatan untuk menjaga dan memelihara Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

“Bermula seawal tahun 2001, pasukan 1 RRD telah melaksanakan penugasan istiadat bagi membantu Briged ke-12 Infantri malaysia (12 Briged) memenuhi keperluan penugasan yang telah dipertanggungjawabkan,

‘’Cetusan idea dan ketetapan dalam Pengisytiharan Batalion Istiadat ini telah diilhamkan oleh PTD, iaitu untuk mengisytiharkan 1 RRD sebagai Batalion Infantri Istiadat, setelah mengambil kira pengalaman dan kejayaan pasukan ini di dalam menyempurnakan penugasan istiadat,” kata Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan.

Zamrose dalam ucapannya berkata TDM sentiasa dalam keadaan bersiap siaga sebilang masa dalam menjaga kedaulatan negara.

“Setiap warga TDM perlu mempertingkatkan latihan semasa aman dan menyusun aturgerak pada sebilang masa,

“Tugas hakiki kita (TDM) adalah dalam perang konvensional. Kita sebagai ‘pemain simpanan’ tidak tahu bila diperlukan. Namun kita juga barisan akhir yang menentukan sama ada negara kita aman atau tidak,

“Oleh itu, setiap pegawai dan anggota TDM perlu mahir dalam melaksanakan tugas disamping membantu pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasa yang lain,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Pengisytiharan Batalion 1 RRD sebagai Batalion Infantri Istiadat.

Seramai 12 pegawai dan 227 anggota lain-lain pangkat (LLP) terlibat dalam perbarisan istiadat ini yang diketuai oleh Pegawai Memerintah 1 RRD, Leftenan Kolonel Mazli Mohd Said.

Terdahulu, Zamrose telah menyaksikan persembahan demonstrasi oleh pasukan 1 RRD, iaitu Kawad Menyuraikan Rusuhan (POPO) yang dipersembahkan oleh Platun Operasi Ketenteraman Awam.

Persembahan diteruskan lagi dengan demonstrasi Kawalan Kehormatan Setempat, Kawalan Kehormatan Darjat (KKD) dan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang turut melibatkan 2 unit Panji-Panji Latihan, iaitu Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Panji-Panji 1 RRD.

Perbarisan kemudiannya diteruskan dengan Pengisytiharan 1 RRD sebagai Batalion Istiadat di mana Panglima Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 Briged), Brigedier Jeneral Isa Daud yang telah menyerahkan skrol pengisytiharan dan replika Truncheon.

Replika tersebut dibawa oleh kumpulan 5 pengiring berkuda kepada PTD yang diiringi oleh Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Div), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran sebagai simbolik kepada penugasan 12 Briged dalam menyempurnakan tugasan lstiadat Diraja yang melibatkan tugas Kawalan Diraja Berkuda, Pengiring Diraja Berkuda dan Pengawal Berkuda Diraja.

“Pemerintahan di bawah ketumbukan 4 Div lebih tertumpu kepada penugasan operasi di kawasan terbina, operasi ketenteraman awam, serta pelaksanaan tugas-tugas istiadat selain daripada melaksanakan tugas sebagai Batalion Infantri Standard,” ujar TDM.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman; Pengerusi RRD, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa dan Pengarah Infantri, Brigadier Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri.

Sehingga kini, terdapat 5 buah Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah dianugerahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebagai lambang kemegahan dan penghormatan serta taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap raja dan negara.

Kelima-lima panji-panji ini telah dianugerahkan kepada Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia, dan Tentera Udara Diraja Malaysia. –airtimes.my

Galeri Gambar:

 

 

Related Articles

Leave a Reply