KUALA LUMPUR, 15 Dis – Operasi Benteng (Op Benteng) yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakukan tangkapan yang melibatkan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 135 Sekatan Jalan Raya (SJR) turut dilaksanakan semalam melibatkan ATM, PDRM dan RELA dalam Op Penawar iaitu sebanyak 64 SJR.
“Manakala Op Benteng PDRM (62 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” hari ini.
Operasi bersepadu ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi penguatkuasa lain.
Sementara itu, bagi Task Force Operasi Pematuhan pula, PDRM telah menahan 201 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesemuanya telah dikompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (87), tidak memakai pelitup muka (73), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (28) dan lain-lain (13),” tambahnya.
Ismail Sabri menjelaskan, PDRM juga telah membuat 39,415 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosuder operasi standard (SOP) PKPP semalam.
“Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,049 anggota telah membuat pemantauan di 3,914 pasar raya, 5,290 restoran, 1,237 kilang, 1,460 pasar awam/tani, 2,945 tempat ibadah serta 1,264 tempat riadah telah diperiksa,” ujarnya. – airtimes.my