LUMUT, 8 Dis – Pelaksanaan Eksesais Lembing Sakti adalah sebagai salah satu usaha untuk menguji tembakan Complete Round Proof (CPR) dalam memanjangkan jangka hayat roket.
Eksesais yang dilaksanakan di bawah kendalian Markas Briged Artileri Roket (BAR), Tentera Darat Malaysia (TDM) yang melibatkan seramai 59 pegawai dan 382 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ini telah di adakan di Tanjung Hantu, Lumut, semalam.
TDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, Eksesais ini turut bertujuan menguji tahap kesiagaan dan kecekapan anggota dalam mengendalikan Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB) ASTROS II berpandukan Sistem Latihan dan Penilaian TDM (ARTEP).
Menurutnya, eksesais ini dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan agensi penguatkuasa awam setempat dalam menentukan keselamatan latihan.
Latihan ini turut disaksikan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.
“Eksesais dimulakan dengan mempamerkan keupayaan Bateri dari Rejimen 51 Artileri Diraja (51 RAD) dalam melaksanakan tembakan roket SS 40,
“Sejumlah 45 butir roket telah dilancarkan ke sasaran sejauh 30km,” menurut kenyataan itu.
Sistem pelancar roket berganda ini merupakan keluaran syarikat Avibras di Brazil dan telah diserahkan kepada Rejimen Artrileri pada bulan Mac 2002.
Seterusnya, TDM secara rasminya telah menubuhkan sebuah BAR yang mengoperasikan 36 unit MLRS, Avibras Astross II ini.
Briged tersebut ditubuhkan selepas TDM menggabungkan 51 dan 52 Rejimen Artileri Diraja (RAD) yang bertanggungjawab mengoperasikan sistem Astross II. Manakala, 53 RAD mengoperasikan radar Arthur bagi tujuan mengesan kedudukan musuh secara tepat setiap kali sebelum dan selepas tembakan dibuat.
Sistem artileri ini memberikan TDM keupayaan serangan strategik yang mampu menjangkau jarak dari 9 kilometer (km) sehingga 90km dengan pelancar yang boleh menggunakan roket berkaliber pelbagai.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kepten (Kehormat) Datuk Ruji Ubi PSSTLDM. –airtimes.my