Home Semasa COVID-19: 1,210 kes, 5 kluster baharu dikesan

COVID-19: 1,210 kes, 5 kluster baharu dikesan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 1,210 kes baharu wabak pandemik COVID-19 dikesan hari ini, dengan 518 kes positif dicatatkan di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 435 kes adalah aripada kluster-kluster sebelum ini.

“Kluster Tapak Bina Damanlela di Kuala Lumpur mencatatkan 206 kes positif, di mana kesemuanya melibatkan bukan warganegara,

“Manakala, Kluster Teratai di Selangor pula mencatatkan 142 kes yang melibatkan 131 kes bukan warganegara,

“Sabah pula mencatatkan sebanyak 499 kes positif pada hari ini melibatkan Kluster penjara Sandakan (122 kes) dan kluster baharu iaitu Kluster Avenue mencatatkan 106 kes,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, pada hari ini.

Beliau turut menjelaskan, 5 kluster baharu dikesan melibatkan 2 daerah di negeri Sabah dan satu masing-masing di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang serta Kelantan.

Malaysia mencatatkan kes pulih COVID-19 sebanyak 1,018 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 36,624 kes.

“Sehingga kini, terdapat 105 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 40 kes memerlukan bantuan pernafasan,” tambahnya.

Dalam pada itu, 5 kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 318 kes.

“Kematian membabitkan 3 lelaki dan 2 wanita berusia antara 25 tahun hingga 80 tahun dengan 4 daripadanya di Sabah dan seorang di Perak.

“4 pesakit yang meninggal dunia ini menghidap pelbagai penyakit kronik antaranya darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, buah pinggang dan asma,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply