Home Semasa COVID-19: 4 PKPD dilanjutkan, 2 lokaliti ditamatkan

COVID-19: 4 PKPD dilanjutkan, 2 lokaliti ditamatkan

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 9 Nov – Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 5 kawasan susulan peningkatan kes positif wabak pandemik COVID-19 di lokaliti tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan PKPD berkenaan masing-masing di Pangsapuri Mutiara Kasih, Taman Khazanah Indah dan Kampung Sabah Baru di Lahad Datu, Sabah.

Menurutnya, PKPD di kawasan berkenaan yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga 23 November ini.

“Selain itu, PKPD juga akan dilanjutkan di Plaza Hentian Kajang dan Putra Point, Nilai sehingga 24 November ini,

“PKPD di Kampung Haji Baki di Kuching akan turut dilanjutkan sehingga 24 November depan, namun sekiranya keputusan saringan kedua bagi kawasan ini diperoleh lebih awal dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada kes positif maka PKPD akan ditamatkan lebih awal,” katanya dalam sidang media harian berkaitan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, perlanjutan PKPD di 5 kawasan berkenaan dibuat selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dijalankan hari ini dan penilaian risiko oleh KKM kerana masih ada kes positif direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan pihak KKM melaksanakan saringan bersasar sekaligus bagi menyekat penularan kepada komuniti setempat,

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD ini sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini. Walau bagaimanapun, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang,

“Pasar dibenarkan beroperasi selama 2 kali seminggu bermula 6.00 pagi sehingga 2.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas,” tambahnya.

Sementara itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu berkuatkuasa pada 10 sehingga 23 November 2020.

“Sehingga 8 November 2020, KKM telah melaksanakan sebanyak 441 saringan dan 102 kes positif COVID-19 telah direkodkan,

“PKPD ini akan melibatkan 701 buah rumah dan seramai 3,917 orang penduduk,” ujarnya.

Selain itu, PKPD di Felda Umas, Kalabakan dan Flat Sungai Emas, Kuala Langat pula akan ditamatkan hari ini dan 10 November seperti yang dijadualkan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply