KUALA LUMPUR, 4 Nov – Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bekalan vaksin untuk wabak pandemik COVID-19 dijangka akan diperolehi pada suku pertama tahun 2021.
Beliau berkata, bekalan vaksin awal itu akan diberi keutamaan kepada 3 peratus populasi negara terlebih yang terdiri daripada para petugas barisan hadapan (front-liners) meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.
“Bagi tujuan penyelarasan dalam memastikan bekalan vaksin COVID-19 diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV) telah ditubuhkan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 21 Oktober lalu,
“JKJAV dipengerusikan bersama Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertindak sebagai Jawatankuasa Induk dalam merancang, melaksana serta memantau keseluruhan strategi untuk pembekalan vaksin COVID-19,
“Akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pendalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi dan akan diangkat sebagai keutamaan sejajar dengan COVID-19 ini dilihat sebagai satu keperluan asas awam atau public good,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14, hari ini.
Beliau menjawab soalan pertanyaan daripada Ahmad Hassan (Warisan-Papar) berhubung jaminan dari aspek kecukupan pembekalan vaksin untuk COVID-19 yang dikatakan sedang berada dalam fasa penentuan harga tempatan.
Selain itu, beliau turut ingin mengetahui usaha Kementerian dalam memastikan vaksin tersebut dapat dibekalkan secara saksama kepada rakyat luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan.
Khairy turut menjelaskan, kini Malaysia dalam peringkat akhir rundingan melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Peguam Negara bagi meneliti terma perjanjian COVAX sebelum menyertai COVAX secara rasmi.
Beliau menambah, kerajaan perlu membelanjakan RM3 bilion sebagai anggaran kos untuk memastikan 70 peratus rakyat Malaysia diberi imunisasi terhadap COVID-19.
“Saya telah memohon agar disediakan dana berkenaan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini,” ujarnya. – airtimes.my
