Home Semasa APMM aktifkan SAR cari dua beradik dikhuatiri lemas di Pulau Sebatik

APMM aktifkan SAR cari dua beradik dikhuatiri lemas di Pulau Sebatik

by Air Times News Network

TAWAU – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mencari dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika mandi di Jeti Teck Guan, kampung Bersong, Pulau Sebatik pada Jumaat lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, pihaknya menerima pangilan daripada pegawai Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata, sebaik sahaja menerima maklumat berkenaan, aset Zon Maritim Tawau yang berada di sektor operasi telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengesahkan maklumat yang dilaporkan.

“Maklumat awal yang diterima oleh anggota APMM dan keluarga mangsa, Nazwa Telson, 8, bersama adiknya Madsun, 5, tidak ditemui sejak petang semalam selepas mandi bersama rakan mereka di tempat kejadian,

“Rakan mangsa yang berada ditempat kejadian telah memaklumkan kepada ahli keluarga dan segera membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, Operasi CARILAMAT akan terus dilakukan di lokasi kejadian dan sekitar kawasan pinggir laut bersama orang awam yang menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan kawasan bakau.

“Operasi SAR membabitkan 13 aset laut serta penglibatan lebih 50 orang pegawai dan anggota termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta komuniti nelayan setempat,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply