Home Semasa PKPD di Penjara Reman Pulau Pinang mulai 15 Oktober

PKPD di Penjara Reman Pulau Pinang mulai 15 Oktober

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dikenakan di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman, Pulau Pinang berkuatkuasa pada 15 Oktober sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD tersebut diputuskan atas nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengawal wabak COVID-19 dalam komuniti berkenaan.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan individu yang terlibat adalah seramai 2,830 orang. Ia merangkumi 2,306 banduan dan 304 staf penjara serta keluarga yang mendiami kuarters di penjara tersebut.

“Selain itu, ujian saringan juga akan dibuat ke atas 220 staf penjara dan keluarga yang tidak mendiami kuarters itu,

“Kerajaan memutuskan PKPD di kawasan berkenaan dan penghuni perlu mematuhi SOP yang telah dikeluarkan,

“Pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia dan makanan serta keperluan asas akan disalurkan oleh kerajaan negeri yang akan diselaraskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Timur Laut,” katanya dalam sidang media Khas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan dalam Facebook Kementerian Pertahanan, hari ini.

Ismail Sabri turut berkata, tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD diasingkan daripada tahanan yang lain.

“Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, tahanan kemudiannya akan dikuarantin di tempat yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pulau Pinang sebelum dibebaskan,

“Tahanan yang positif akan dirawat di hospital sebagai orang awam selepas tarikh pembebasan mereka,” tambahnya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seramai 141 kes dari 563 kes baharu yang direkodkan positif COVID-19 adalah daripada Penjara Reman. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply