Home Semasa COVID-19: 563 kes baharu, 2 kematian

COVID-19: 563 kes baharu, 2 kematian

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Bilangan kes baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia terus meningkat kepada 563 kes hari ini, berbanding semalam 561 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penambahan ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 16,220 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 5,039 kes.

“Daripada 563 kes hari ini, Sabah masih mencatat jumlah kes harian tertinggi iaitu 291 kes, namun ia rendah berbanding semalam iaitu 488 kes,

“Pulau Pinang pula mencatat lonjakan jumlah kes positif iaitu sebanyak 141 kes dan kesemua kes daripada Kluster Penjara Reman di mana semua kes ini sememangnya terasing daripada masyarakat iaitu di dalam penjara,

“Daripada jumlah kes baharu, 562 kes penularan di dalam negara membabitkan 498 kes adalah warganegara Malaysia dan 64 kes adalah bukan warganegara, manakala satu lagi adalah kes import.

“Daripada penularan tempatan, 10 kes pula adalah pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September sebanyak 363 kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat 98 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga memaklumkan terdapat 2 kes kematian dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 159 kes,

“Kes ke 158 adalah warganegara membabitkan seorang perempuan berumur 85 tahun dengan latar belakang  penyakit darah tinggi, jantung dan penyakit paru-paru kronik manakala kes ke 159 pula adalah bukan warganegara berusia 48 tahun,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply