Home Semasa Tragedi Oktober: Kes baharu 691, bayi antara korban COVID-19

Tragedi Oktober: Kes baharu 691, bayi antara korban COVID-19

by M.Daim

PUTRAJAYA, 6 Okt – Malaysia terus mencatatkan kes harian jangkitan COVID-19 selama dua hari berturut-turut.

Angka terbaharu kes COVID-19 adalah 691 kes dengan 3 daripadanya merupakan kes import manakala 688 lagi penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Tembok merangkumi 57% daripada kes penularan tempatan

“394 kes telah dikesan daripada Kluster Tembok yang berlaku di penjara di Kedah,” katanya.

Beliau menambah, kluster tersebut adalah terasing di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dan di dalam penjara.

“Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 meningkat apabila 4 orang pesakit disahkan maut. Antara menjadi korban terbaharu wabak itu ialah seorang bayi berusia 1 tahun.

“Seorang bayi perempuan telah dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober 2020,

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Menurut beliau, mangsa disahkan menghidap COVID-19 5 Oktober sebelum disahkan meninggal dunia pukul 4.25 petang pada hari yang sama.

3 kes kematian lagi melibatkan warga emas di Sandakan, Semporna dan Pulau Pinang.

Jumlah kes aktif pula melonjak kepada 2,936. 31 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 8 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan pesakit yang disahkan pulih pada hari ini adalah 87 orang.

Sehingga hari ini, seramai 13,504 pesakit telah dikesan dijangkiti wabak COVID-19. Jumlah pesakit sembuh pula 10,427 dan angka kematian pula adalah 141. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply