KUALA LUMPUR, 23 Sept – Kerajaan mengumumkan bantuan tambahan untuk golongan B40 dan M40 melalui pemberian tunai di bawah Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) dengan peruntukan hampir RM7 bilion.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0 kerana kerajaan akan menyalurkan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang sudah diluluskan di bawah BPN sebelum ini.
“Bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk proses rayuan serta permohonan baharu,” katanya dalam sidang media pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin hari ini.
Menurutnya, jumlah bantuan yang akan disalurkan di bawah BPN 2.0 ini adalah RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40; RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang; RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40 dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.
“Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober 2020 dan keduanya, pada Januari 2021,
“Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada bulan Januari 2021 adalah RM300,” katanya.
Muhyiddin berharap dengan adanya bantuan tambahan ini, golongan terbabit dapat menarik sedikit nafas lega dalam menampung perbelanjaan harian mereka dan seisi keluarga.-airtimes.my