Home Pertahanan dan Keselamatan ATM bina 2,367 unit RKAT baharu di seluruh negara – Panglima Angkatan Tentera

ATM bina 2,367 unit RKAT baharu di seluruh negara – Panglima Angkatan Tentera

by Air Times News Network

SUNGAI BESI, 23 Sep – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata sebanyak 2,367 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu sedang dan akan dibina di seluruh negara.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan dalam usaha untuk memastikan agenda penyedian RKAT dan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) dapat direalisasikan untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“RKAT baharu tersebut akan dibina di Kem Oran, Perlis; Kem Tok Jalai, Alor Star, Kedah; Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan; Kem Tumbi di Jeli, Kelantan; Kem Batu 10 Sibu dan Kem Sri Miri, Sarawak serta Kem Lok Kawi, Sabah,” kata Affendi ketika berucap semasa perbarisan Hari ATM ke-87 di Kem Perdana Sungai Besi semalam

Manakala bagi program SASaR, Affendi berkata projek pertama yang dikenali sebagai Residensi SASaR ATM Sungai Besi melibatkan 3,500 unit rumah akan memulakan pembinaan pada akhir tahun ini dan bakal siap pada 2023.

“Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju secara berprinsip terhadap cadangan Kementerian Pertahanan untuk membina perumahan SASaR di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang di sini yang akan menyediakan sebanyak 7,374 unit rumah bagi kedua-dua projek ini,

“Diharapkan dengan adanya program sebegini, warga ATM khususnya dapat membeli dan memiliki rumah mereka pada harga yang amat kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, turut diberikan perhatian adalah usaha bagi meningkatkan taraf sosioekonomi dan kebolehpasaran warga ATM terutamanya selepas mereka meninggalkan perkhidmatan kelak.

“Latihan yang bersesuian akan diberikan kepada mereka sebagai persediaan untuk meneroka kerjaya baharu di dunia luar,

“Disamping itu juga, di bawah pemantauan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), kita akan turut memastikan keperluan sosial dan kesejahteraan veteran sentias terbela dan terpelihara,” ujarnya.

Turut hadir pada perbarisan tersebut ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply