Home Politik Anwar Ibrahim rakus, gila kuasa – PN, MN, GPS

Anwar Ibrahim rakus, gila kuasa – PN, MN, GPS

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Semua parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan bersama oleh pemimpin parti dari Barisan Nasioanal (BN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Semalaysia (PAS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) menyangkal dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya memiliki majoriti penuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

“Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini,

“Tindakan terbaharu Anwar Ibrahim ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan keadaan negara,

“Ini terutamanya dengan melihat keadaan politik, ekonomi negara dan nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19,

“Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat,” jelas kenyataan bersama itu.

Terdahulu, Anwar Ibrahim mendakwa telah mendapat majoriti yang kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Beliau juga menegaskan, kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh setelah beliau mendapat majoriti yang penuh ini.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta menyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,

“Ingin saya nyatakan, majoriti yang menyokong juga dikalangan Ahli Parlimen Melayu dan Islam,

“Untuk makluman semua, sebenarnya saya telah diperkenankan untuk menghadap YDPA semalam jam 11.00 pagi, tetapi dipaksa ditangguhkan kerana baginda kini menerima rawatan di Insititut Jantung Negara (IJN),” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply