KUALA LUMPUR, 15 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu lagi kes baharu wabak COVID-19 dikesan di Sabah iaitu Kluster Pulau di Kunak.
Ketua Pengaharah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, kes indeks Kluster Pulau (iaitu ke ke-9,940) adalah seorang wanita warganegara Malaysia yang berusia 68 tahun.
Beliau berkata, warga emas itu ditemui tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Hospital Kunak. Kemudiannya mangsa dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati di mana saringan COVID-19 didapati positif pada 13 September lalu.
“Wanita berkenaan kini dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection), 8 lagi kes positif COVID-19 telah dikesan.
“Kesemua 8 kes merupakan ahli keluarga kes indeks. Sehingga 15 September 2020, sejumlah 128 individu telah disaring dalam kluster ini yang terdiri daripada 109 warganegara dan 19 bukan warganegara,
“Daripada jumlah ini, 9 kes telah dikesan positif COVID-19, 18 individu negatif manakala 100 lagi individu masih menunggu keputusan,” tambahnya.
Sementa itu, Kluster Benteng Lahad Datu telah mencatatkan pertambahan 4 kes pada hari ini dan menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 424 kes.
Terdahulu, Dr Noor Hisham telah mengumumkan sebanyak 23 kes jangkitan baharu dan 6 kes pulih pada hari ini.
Sehingga hari ini, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 9,969 kes jangkitan COVID-19 dan 9,209 kes sembuh. Manakala kes kematian kekal pada paras 128 kes. – airtimes.my