Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera cekup PATI Indonesia cuba pulang ke negara asal

Tentera cekup PATI Indonesia cuba pulang ke negara asal

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 4 Sept – Hajat 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang dipercayai ingin pulang ke negara asal, tidak kesampaian apabila ditahan oleh anggota pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer (1 RRD), awal pagi tadi.

Penahanan tersebut dibuat dalam 3 serbuan berasingan di sektor Operasi Benteng (Op Benteng) kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) di Sedili Kechil, Kota Tinggi, Johor.

Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Div) dalam kenyataan berkata kesemua PATI warga Indonesia itu terdiri daripada 11 lelaki dan 4 perempuan yang berusia 19 hingga 45 tahun.

“Kesemua mereka dipercayai ingin pulang ke Indonesia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tangkapan pertama dibuat ketika petugas rondaan tentera melihat sebuah bot di jarak 100 meter sedang merapati persisiran pantai sekitar jam 1.30 pagi dan berjaya menangkap 12 PATI Indonesia yang terdiri daripada 8 lelaki dan 4 perempuan.

“Pada jam 2.50 pagi, Kumpulan Quick Reaction Force (QRF) turut berjaya menahan 2 orang PATI pada jarak 800 meter dari lokasi pertama,

“Tangkapan ketiga pula dibuat pada jam 07.00 pagi melibatkan seorang PATI yang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran,” tambahnya.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 40 ribu ringgit melibatkan wang tunai dan 17 buah telefon bimbit.

“PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian dijalankan mengikut SOP pencegahan wabak COVID-19,

“Laporan tangkapan kesemua PATI telah dibuat di Balai Polis Kuala Sedili serta akan diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut,” ujarnya –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply