Home Semasa COVID-19: Pendatang Asing Tanpa Izin ditahan dalam Ops Benteng cetus kluster baharu di Lahad Datu

COVID-19: Pendatang Asing Tanpa Izin ditahan dalam Ops Benteng cetus kluster baharu di Lahad Datu

by M.Daim

PUTRAJAYA, 1 Sept – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkah kewujudan kluster baharu di Lahad Datu adalah berpunca dari tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin yang ditahan melalui Ops Benteng.

“Kluster ini dikesan hasil saringan terhadap tahanan PATI yang baru di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu. Seramai 50 tahanan telah disaring dan didapati 7 daripadanya positif manakala lain-lain negatif,

“Selain itu, kluster ini turut melibatkan seorang pesakit dari kalangan rakyat tempatan,” kata Noor Hisham semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau menjelaskan, kesemua tahanan telah disaring pada 28 Ogos lalu sebelum dimasukkan ke lokap.

“Kesemua pesakit dari kluster ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Noor Hisham menegaskan kawalan sempadan dan laluan tikus PATI adalah perlu bagi membendung penularan wabak oleh PATI.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan turut mengesahkan satu kes kematian telah dicatatkan pada hari ini dengan melibatkan seorang pesakit berusia 80 tahun dari kluster Tawar di Pulau Pinang.

“Pesakit mempunyai latar belakang kesihatan dan dilaporkan telah dijangkiti wabak itu pada 15 Ogos lalu,” jelasnya.

Selain itu, seramai 21 pesakit telah disahkan pulih sementara 14 kes baharu telah dicatatkan pada hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 13 masih aktif di dalam negara. Kluster Benteng Lahad Datu, Kluster Tawar dan Telaga masing-masing mencatatkan pertambahan kes jangkitan.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan jumlah kes pulih sebanyak 9,075 dan jumlah kes jangkitan pula adalah berjumlah 9,354 kes.

Pada masa yang sama, kes kematian telah meningkat kepada 128 kes. – airtimes.m

Related Articles

Leave a Reply