Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM bantu baik pulih rumah mangsa banjir, kebakaran di Kota Belud

ATM bantu baik pulih rumah mangsa banjir, kebakaran di Kota Belud

by Bernama

KOTA KINABALU, 3 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan tenaga kerja dan kepakaran skuadron jurutera di bawah Lima Divisyen di Sabah bagi membantu kerajaan negeri membaik pulih rumah penduduk terjejas banjir di Kota Belud, kira-kira 70 km dari sini minggu lepas.

Panglima 5Divisyen Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata ini termasuk kerja-kerja membina semula dua kediaman penduduk yang musnah dalam kebakaran di Kampung Gunding, Kota Belud.

Beliau berkata ia susulan kepada cadangan dan permohonan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi mendapatkan kerjasama tentera untuk membantu agensi-agensi lain membina semula kediaman mangsa bencana di kawasan itu.

“Saya telah mengarahkan pasukan jurutera (Lima Divisyen) meninjau kawasan dan melihat bentuk bantuan yang boleh diberikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohd Shafie bagi membincangkan perkara itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, semalam.

Turut hadir Pegawai Pemerintah Lima Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Mejar Nazulisyam Ahmed Naim dan Pegawai Staf Dua Tadbir Markas Lima Divisyen Paul Ondahal.

Sementara itu beberapa penduduk yang menjadi mangsa banjir minggu lepas di daerah Kota Marudu kira-kira 100km dari sini menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan yang tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung mereka.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungoi Darat Minnie Usak berkata kehadiran pihak berkenaan sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan di kawasan pantai barat Sabah pada Sabtu lepas.

Bercakap kepada Bernama ketika ditemui di sini beliau, berkata selain bantuan kewangan, para penduduk terjejas banjir turut menerima bantuan lain termasuk tilam, tong gas, dapur masak serta beberapa barangan makanan seperti minyak masak dan beras, yang diharapkan dapat meringankan sedikit beban mereka yang terlibat.

Sabtu lepas, hujan lebat berterusan mengakibatkan 11 daerah yang melibatkan 152 kampung di Sabah terjejas akibat banjir termasuk di Kota Marudu, Kota Belud, Tenom, Beaufort, Papar, Tuaran dan Penampang. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply