Home Semasa Pihak ubah suai Jata Persekutuan akan dihukum – JPM

Pihak ubah suai Jata Persekutuan akan dihukum – JPM

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 30 Jun – Kerajaan memandang serius berhubung penyalahgunaan dan pengubahsuaian Jata Persekutuan oleh individu atau mana-mana pihak tanpa kebenaran.

Jabatan Perdana Menteri (JPM, dalam satu kenyataan berkata ia menjadi kesalahan di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

“Seksyen 3 (1) Akta 414 menyatakan walau apa pun jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis Menteri,

“Mengguna apa-apa nama ternyata, atau lambang ternyata atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion,

“Selain itu juga, mengguna bagi maksud, atau memperagakan sebagai suatu iklan bagi apa-apa perniagaan, perdagangan, pekerjaan atau profesion, atau menjual, apa-apa fotograf, lukisan atau rupaan lain gambar Yang Dipertuan Agong atau Raja Permaisuri Agong,

“Mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata, atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, dalam tajuk apa-apa patten, atau dalam apa-apa cap dagangan atau reka bentuk,

“Atau membuat bagi maksud jualan atau menjual atau ada dalam miliknya untuk dijual, apa-apa lambang ternyata,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Semalam, tular di media sosial sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan.

Antara kandungan laporan polis yang dibuat oleh individu dan badan bukan kerajaan (NGO) itu ialah imej yang digunakan untuk muka depan buku tersebut seolah-olah merendahkan martabat serta menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, juga mengesahkan telah menerima 21 laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak berhubung buku tersebut yang didakwa menghina Jata Negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan itu, pihaknya membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat menurut beberapa akta termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata, beberapa individu termasuk pengarang, penerbit dan mereka yang mempunyai kaitan atau terbabit dalam penghasilan buku itu akan dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan serta membantu siasatan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply