Home Semasa 62 tahun, TUDM kekal kuasa udara yang kredibel dan unggul

62 tahun, TUDM kekal kuasa udara yang kredibel dan unggul

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Menginjak usia penubuhan ke-62 tahun, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat mampu menjadi satu kuasa udara yang kredibel dan unggul serta disegani di rantau ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dalam Amanat Khas sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-62 menyatakan sambutan yang bertema ‘Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga’ ini dilihat sebagai landasan kepada usaha untuk mencapai kejayaan bagi memacu TUDM ketahap yang lebih tinggi.

Cogan kata ini selari dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan TUDM iaitu untuk menjamin kepentingan negara atau ‘National Interests’ sentiasa terpelihara.

“Saya yakin bahawa berpandukan kepada strategi yang dirangka, TUDM mampu menjadi satu kuasa udara yang dominan melalui penggunaan kuasa udara yang tepat dan efektif,

“Tanggungjawab dalam mencapai visi dan misi bukan hanya dipikul oleh segelintir ketukangan sahaja bahkan ia adalah menjadi tanggungjawab semua warga TUDM untuk lebih komited dan ikhlas khususnya dalam merealisasikan objektif yang disasarkan,” kata Affendi.

Menurut Affendi, maju mundurnya TUDM sebagai satu organisasi adalah terletak di atas bahu seluruh warganya tanpa mengira ketukangan mahupun pangkat.

“Saya percaya, anda semua mempunyai satu matlamat iaitu mempertingkatkan daya juang TUDM demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Pada tahun ini, Hari Ulang Tahun TUDM disambut dalam normal baharu tidak seperti kebiasaan dengan mengadakan istiadat perbarisan melibatkan pegawai dan anggotanya disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply