Home Semasa Penjawat awam dapat bonus hari raya RM500

Penjawat awam dapat bonus hari raya RM500

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata kerajaan telah memutuskan untuk memberi Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2020 sebanyak RM500 akan dibayar pada 20 Mei 2020 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah.

Beliau berkata, bantuan khas itu membabitkan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Ujar Mohd Khairul Adib, bantuan khas ini juga dipanjangkan kepada pesara kerajaan yang menerima pencen sebanyak RM250.

“Bantuan khas ini sebanyak RM500 juga dipanjangkan kepada pekerja sambilan harian (PSH) yang masih berkhidmat pada 20 Mei 2020 dengan syarat tempoh kontraknya telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut,

“Manakala bagi pesara kerajaan yang dilantik semula secara kontrak dan masih berkhidmat pada 20 Mei 2020 juga layak diberi bantuan khas sebanyak RM500,

“Pembayaran sebanyak RM250 akan dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bakinya sebanyak RM250 akan dibayar jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat,” katanya menerusi Pekeliling Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan hari ini.

Tambahnya lagi, pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan sudah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ditangguhkan daripada menerima bantuan tersebut.

“Pegawai hanya layak diberi Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2020 sekiranya Pihak Berkuasa Tatatertib mendapati pegawai tersebut tidak bersalah,” ujarnya.

Selain itu, bagi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang meninggal dunia pada 20 Mei 2020 layak diberi bantuan ini sebanyak RM500.00.

Manakala pembayaran kepada mana-mana penerima pencen terbitan yang layak di bawah undang-undang pencen sebanyak RM500.00 akan dibayar oleh jabatan terakhir pegawai berkhidmat. – AirTimes

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply