Home Pertahanan dan Keselamatan Perangi COVID-19 salah satu tanggungjawab ATM kepada negara – Panglima Angkatan Tentera

Perangi COVID-19 salah satu tanggungjawab ATM kepada negara – Panglima Angkatan Tentera

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan peranan dan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memerangi wabak pandemik COVID-19 adalah satu daripada kewajipan dan komitmen kepada negara serta rakyat.

Beliau berkata walaupun tugas utama ATM adalah untuk menentukan kedaulatan dan pertahanan negara tidak diganggu gugat oleh ancaman luar dan juga membantu pihak berkuasa awam didalam menangani ancaman dalaman negara.

“Apabila negara kini dilanda dengan masalah pandemik yang merupakan satu ancaman besar, ATM tidak boleh berpeluk tubuh sahaja dan melihat pasukan penguatkuasaan lain bertungkus lumus dalam memerangi wabak,

“Ini adalah kewajipan kita (ATM), kita akan lakukan apa yang kita mampu,” katanya dalam temubual di sebuah stesen televisyen hari ini.

Pada 20 Mac lalu, kerajaan telah mengarahkan ATM untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan bersama.

Affendi berkata dalam PKP fasa 1 dan 2, tugas dan peranan ATM semakin bertambah apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan bantuan pihak tentera untuk membuat pengawasan di Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Oleh itu, ATM telah masuk dan menutup kawasan dengan kawad berduri di kawasan PKPD seperti di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan City One Plaza,”

Beliau menambah, ATM mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk membantu pihak penguatkuasa dan KKM dalam memerangi COVID-19.

“ATM ada perkhidmatan kesihatan sendiri seperti hospital, doktor, jururawat, anggota perubatan dan peralatan yang lengkap serta mencukupi,

“Secara langsung ATM telah memberi sokongan dan membantu KKM di pusat kuarantin di MAEPS, Serdang dengan melibatkan anggota perkhidmatan kesihatan ATM,

“Pada masa yang sama, ATM telah membuat saringan kesihatan di pintu masuk lapangan terbang KLIA kepada rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air,” katanya.

Affendi menambah, ATM telah membuat operasi penghantaran bekalan perubatan, peralatan perlindungan diri (PPE) serta makanan ke pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Kita telah mengarahkan anggota dan aset untuk melaksanakan tanggungjawab, semua tugas dan sokongan yang diperlukan,

“ATM memberi bantuan yang sangat tinggi nilainya dalam usaha menentukan pandemik COVID-19 dapat diselesaikan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sempadan negara sentiasa diperketatkan dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan lain dalam mengawal kemasukan warga asing ke Malaysia.

Dalam pada itu, ATM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan anggotanya dijangkiti wabak semasa operasi terutamanya semasa berdepan dengan orang ramai.

“ATM memberi kelengkapan asas PPE seperti topeng muka, sarung tangan dan keperluan peralatan yang lain,

“Selepas bertugas mereka akan dibersihkan dahulu di kem sebelum pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya. – AirTimes

 

Related Articles

Leave a Reply