Home Semasa COVID-19: Kluster baru dikesan di tapak pembinaan Setia Alam

COVID-19: Kluster baru dikesan di tapak pembinaan Setia Alam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan satu kluster baru di kesan melibatkan warga asing di Setia Alam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan pada 6 Mei 2020, apabila menerima makluman dari sebuah hospital swasta.

“Hospital tersebut menjalankan saringan COVID-19 ke atas pekerja-pekerja yang bakal kembali bertugas dan mendapati 3 kes disahkan positif COVID-19 daripada 5 orang pekerja yang disaring,

“Ketiga-tiga kes positif tersebut merupakan warga Bangladesh yang berkongsi tempat kediaman yang sama dengan 18 orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, susulan itu siasatan dan saringan bagi kontak rapat ketiga-tiga kes terbabit dijalankan.

“Sehingga hari ini, seramai 28 orang disaring untuk COVID-19. Daripada jumlah keseluruhan ini, 12 kes didapati positif di mana semua kes-kes ini merupakan warganegara Bangladesh,

“9 kes pula didapati negatif dan 7 kes masih menunggu keputusan,

“Punca jangkitan kluster ini juga masih dalam siasatan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, seramai 28 kes baru didapati positif COVID-19 melibatkan warga pekerja di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 88 kes.

“Kes-kes positif kluster ini melibatkan 81 kes bukan warganegara iaitu, 33 kes warga Nepal; 26 kes warga Bangladesh; 11 kes warga Indonesia dan 11 kes warga Myanmar.” Katanya.

Beliau turut menjelaskan, satu kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 108 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)

“Kes kematian ke-108 (kes ke-2,499) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun, darah tinggi dan penyakit tiroid,

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-1,276 yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 8 Mei 2020 jam 11.23 malam,” jelas Dr Noor Hisham. – AirTimes

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply