Home Semasa Kedai gunting rambut, salun kecantikan dan cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP

Kedai gunting rambut, salun kecantikan dan cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 13 Apr – Kerajaan hari ini memutuskan agar kedai gunting rambut, salun kecantikan dan cermin mata tidak dibenarkan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan supaya kedai-kedai berkenaan tidak dibenarkan beroperasi.

“Kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat, dan kerajaan telah pun mendengar pandangan rakyat,

“Kerajaan juga mendapat nasihat daripada pakar-pakar tertentu dan juga badan bukan kerajaan (NGO),” kata Ismail Sabri pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai PKP hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri juga telah memutuskan bahawa semua bentuk bazar-bazar ramadan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan di seluruh negara.

Sebelum ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), telah menyenaraikan sembilan sektor ekonomi termasuk perkhidmatan gunting rambut asas dan kedai cermin mata yang boleh membuat permohonan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April

Ismail Sabri juga memaklumkan pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kekal berada di kampus universiti masing-masing sepanjang tempoh PKP.

“Dalam tempoh PKP ini, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan kebajikan dan makan minum pelajar diutamakan,” katanya.

Menurutnya semua keputusan ini diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Pandangan ini juga diambil dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan rakyat mematuhi PKP bagi mengurangkan pergerakan orang ramai,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply