Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: TLDM, APMM pertingkat kawalan perairan negara sepanjang PKP

COVID-19: TLDM, APMM pertingkat kawalan perairan negara sepanjang PKP

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 13 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus mengawasi kawasan perairan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mengambil tindakan bagi mencegah pencerobohan bot nelayan negara asing.

“TLDM bersama APMM akan mengambil tindakan tegas untuk menghalang dan mengusir sebarang pencerobohon di kawasan perairan negara,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, setakat ini, tiada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan di sempadan negara terutama jalan-jalan tikus yang digunakan untuk memasuki negara ini.

“Seperti kita tahu, sempadan telah pun ditutup kepada kemasukan semua warga asing dan sentiasa memantau jalan-jalan tikus bagi mempastikan tiada warga-warga asing yang menyeludup masuk ke negara kita,

“Tindakan tegas pastinya akan diambil kepada mana-mana warga asing yang memasuki negara melalui jalan-jalan tikus ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai PKP hari ini.

Menurut Ismail Sabri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan bertindak tegas dalam  pengawalan semua jalan tikus bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang mungkin di bawa oleh PATI.

 

Related Articles

Leave a Reply