PUTRAJAYA, 24 Mac – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak polis dan tentera diminta untuk mengawal kawasan bank dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ketika penjawat awam dan swasta mula menerima pembayaran gaji masing-masing beberapa hari lagi.
Beliau berkata polis dan tentera diminta mengawal kawasan tersebut bagi memastikan orang ramai melaksanakan dan mematuhi penjarakan sosial ketika proses pengeluaran wang di bank dan mesin ATM.
“Dalam beberapa hari lagi mungkin gaji akan dibayar oleh pihak kerajaan dan majikan masing-masing,
“Oleh itu, kita menjangkakan akan berlaku kesesakan di bank dan juga mesin ATM. Jadi kita menyeru jangan berpusus-pusu di bank ataupun ATM,
“Kita juga akan minta polis, tentera jika perlu untuk mengawal di kawasan bank dan mesin ATM supaya pematuhan kepada penjarakan sosial itu dilakukan apabila berlaku proses pengeluaran wang dilakukan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Selain itu, beliau berkata polis bantuan dan pengawal keselamatan yang berkerja dibank juga diminta untuk mengawal jumlah orang yang masuk ke premis tersebut bagi melaksanakan penjarakan sosial.
“Mungkin pihak bank akan menentukan berapa ramai akan ada dalam bank untuk memastikan penjarakan dilaksanakan,” ujar beliau.