Home Semasa Majlis Keselamatan Negara rayu rakyat patuhi arahan kawalan pergerakan

Majlis Keselamatan Negara rayu rakyat patuhi arahan kawalan pergerakan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyeru orang ramai untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

MKN dalam satu kenyataan berkata, orang ramai digesa untuk mematuhi arahan yang telah dikuatkuasakan mulai jam 12.00 tengah malam tadi.

“Rakyat mengetahui Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020,

“Lanjutan daripada pengisytiharan tersebut, langkah-langkah susulan telah diambil bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berkenaan,

“Untuk memastikan keperluan orang ramai kepada perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa, perkhidmatan tertentu dibenarkan beroperasi,” katanya.

MKN turut menegaskan, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 turut diwartakan pada hari ini (18 Mac 2020) bagi melaksanakan perintah kawalan tersebut.

“Pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan RELA telah dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342),

“Orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, MKN turut menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dari orang sekeliling bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

 

 

Related Articles

Leave a Reply