Home Semasa COVID-19: Agong zahir kebimbangan, titah rakyat main peranan bantu KKM

COVID-19: Agong zahir kebimbangan, titah rakyat main peranan bantu KKM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Mac  – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan 28 kes baharu jangkitan COVID-19 semalam.

Justeru, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan dan mengenal pasti kontak rapat pesakit baharu tersebut agar jangkitan COVID-19 dibendung dengan segera dan berkesan.

“Seri Paduka bertitah rakyat turut digesa untuk menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara CPRC), melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan dan pertanyaan serta maklumat,” katanya.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan rakyat supaya patuh kepada panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM untuk mengelak penularan COVID-19. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply