Home Semasa Rakaman audio: Najib, Rosmah beri keterangan sejam di Bukit Aman

Rakaman audio: Najib, Rosmah beri keterangan sejam di Bukit Aman

by Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan selama kira-kira satu jam berhubung rakaman audio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib dan Rosmah tiba melalui pintu belakang Menara 2, Bukit Aman sekitar jam10.15 pagi tadi dipercayai bagi mengelak pihak media yang menunggu di pintu masuk utama Bukit Aman sejak jam 8 pagi.

Najib dan Rosmah diiringi peguam masing-masing, Mohamed Reza Rahim dan Rajivan Nambiar.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata rakaman keterangan mereka dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan pasangan itu selesai memberi keterangan pada kira-kira jam 11.50 pagi tadi.

“Kita akan melihat keterangan yang diambil dan akan memanggil semula Najib dan Rosmah jika ada keperluan, ” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis telah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang telah dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas Pegawai Khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Sementara itu, Rajivan berkata kedua-dua anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan berhubung rakaman audio berkenaan.

“Pada jam 2.30 mereka akan memberi keterangan di Akademi SPRM Jalan Duta juga mengenai siasatan rakaman berkenaan,”katanya ketika ditemui di luar Bukit Aman.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa membabitkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad serta SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply