PUTRAJAYA, 14 Feb – Kerajaan Malaysia tidak akan mengikut langkah China dalam menukar definisi kes jangkitan coronavirus-2019 (COVID-19), kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee (HLC), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berhubung Kluster Penyakit Novel Coronavirus (COVID-19) Bilangan 2 Tahun 2020, hari ini.
“Pendekatan seumpama itu hanya dilaksanakan di Hubei kerana makmal di wilayah berkenaan tidak dapat menampung keperluan untuk melakukan ujian pada ketika ini,
“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Malaysia yang bertanggungjawab melakukan ujian saringan COVID-19 masih berupaya untuk menampung operasi pengesanan, termasuk membabitkan kemasukan warga asing ke negara ini,” tegasnya lagi.
Beliau berkata, IMR sudah membuat persiapan awal selepas berita mengenai wabak ini tercetus dan Dr Wan Azizah yakin masalah tersebut berjaya ditangani.
Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri bertegas kerajaan turut memutuskan untuk membenarkan pengambilan lebih ramai pekerja asing bagi menghasilkan lebih banyak topeng muka dalam membendung wabak COVID-19.
Dr Wan Azizah berkata kelonggaran tersebut telah diputuskan oleh Kabinet melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa prosedur akan dilakukan bagi memastikan tidak akan berlaku kebanjiran pekerja asing di negara ini.
“Topeng muka ini biasanya hanya hospital sahaja yang gunakan, orang awam hanya gunakan topeng semasa jerebu,
“Sekarang apabila kita perlukan lebih banyak topeng muka, pengeluarannya mesti dinaikkan secara mendadak,” jelasnya.