Home Semasa Empat pesakit COVID-19 dibenarkan pulang

Empat pesakit COVID-19 dibenarkan pulang

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 14 Feb – Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail hari ini mengesahkan seramai empat individu yang dijangkiti COVID-19 telah dibenarkan pulang.

Ini menjadikan jumlah kes COVID-19 yang telah sembuh dan dibenarkan pulang sehingga hari ini adalah 7 daripada 19 individu yang dijangkiti COVID-19.

Dr Wan Azizah berkata keempat-empat individu tersebut adalah kontak rapat kepada kes pertama yang dilaporkan di Singapura dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

“Mereka ini telah dikesan dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh pada 24 Januari 2020 dan telah dilaporkan positif COVID-19,

“Keempat-empat mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan COVID-19 yang dijalankan menunjukkan hasil ujian sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif,” katanya pada sidang media di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Dr Wan Azizah mengesahkan sehingga hari ini, tiada penambahan kes wabak COVID-19 terbaru dilaporkan.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 19 kes,

“Sembilan kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan,” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah lagi, daripada jumlah tersebut, seramai 13 individu adalah warganegara China dan enam yang lain adalah warganegara Malaysia.

“Kumpulan yang dibawa pulang dari Wuhan, China, menerusi misi kemanusiaan kini berada dalam keadaan sihat dan baik,

“Mereka akan diberi kelulusan untuk pulang ke kediaman masing-masing pada 18 Februari ini jika keputusan saringan akhir didapati negatif jangkitan COVID-19,” tambah Dr Wan Azizah.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal asing berlabuh di mana-mana perairan Malaysia jika enggan berkongsi maklumat yang diperlukan pihak berkuasa Malaysia.

“Ini adalah ekoran laporan dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bahawa terdapat permohonan dua kapal persiaran untuk berlabuh daripada Hong Kong (Kapal Westerdam dan Kapal Sapphire Princess),

“Kapal Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Cambodia semalam (13 Februari 2020). Manakala Sapphire Princess telah selamat berlabuh di Singapura,” jelas Timbalan Perdana Menteri.

Related Articles

Leave a Reply