Home Semasa Ramli Din pengarah baharu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman  

Ramli Din pengarah baharu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman  

by Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Seramai 37 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia terlibat dalam arahan pertukaran berkuatkuasa 2 Mac, antaranya Pesuruhajaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din yang dilantik menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan berkata jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak akan diisi oleh Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail dengan memangku pangkat CP.

Tempat Aidi pula akan diambil alih oleh Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik manakala tempatnya pula akan diisi oleh Timbalan Pengarah III, Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, Datuk Abd Razak Elias dengan memangku pangkat DCP.

Selain itu, Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin akan menjadi Timbalan Pengarah JSJK yang baharu dengan memangku pangkat CP.

Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad pula akan memangku pangkat CP dengan menjawat Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Selain itu, SAC Kepolisan Am, JKDNKA Bukit Aman, Datuk Idris Abdullah akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman dengan memegang pangkat DCP.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Allaudeen Abdul Majid pula akan memegang pangkat DCP dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Integriti) JIPS yang baharu bagi menggantikan Azri.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid akan mengisi jawatan Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan JSJ Bukit Aman dengan pangkat CP manakala posisi Mior Faridalathrash akan diisi oleh Ketua JSJ Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply