Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Insiden tertembak pegawai komando: Tindakan tatatertib diambil, prosedur akan dikemaskini

Insiden tertembak pegawai komando: Tindakan tatatertib diambil, prosedur akan dikemaskini

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini memaklumkan bahawa lembaga siasatan memuktamadkan insiden pegawai komando pada 4 September lalu di Kem Lok Kawi sebagai insiden terpencil dan kemalangan dalam latihan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak TDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

“Pihak ahli lembaga turut mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik,” jelas kenyataan tersebut.

Namun begitu, pihak TDM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap individu yang terlibat dan mengemaskini standard operating procedure (SOP) jika diperlukan.

“Latihan untuk memperkasakan anggota TDM akan diteruskan khususnya bagi meningkatkan keyakinan semua warga terhadap peralatan dan kelengkapan yang sedia ada,” tegas kenyataan tersebut.

Terdahulu, pihak TDM telah menubuhkan lembaga siasatan berikutan insiden seorang pegawai komando maut semasa melaksanakan latihan keupayaan TDM ketika Acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi pada 4 September 2019 lalu.

Ketika kejadian, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya terkorban akibat terkena tembakan ketika melaksanakan demonstrasi keupayaan.

Dalam perkembangan lain, pihak TDM turut mengesahkan pihak mereka telah menghulurkan bantuan yang sewajarnya terhadap balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir, Puan Nour Shafinar Harun serta ahli keluarga sejak hari pertama insiden.

“Beliau dan keluarga juga akan terus diberi bantuan dan faedah yang sewajarnya mengikut kelayakan yang telah ditetapkan,” jelas pihak TDM.

Sementara itu, pihak TDM turut mengesahkan Allahyarham Mejar Mohd Zahir telah disokong untuk dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel oleh Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang telah bersidang pada 17 September 2019.

“Ini tertakluk kepada kelulusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” jelas pihak TDM.

Related Articles

Leave a Reply