Home Pertahanan dan Keselamatan Agong cemar duli lawat UPNM

Agong cemar duli lawat UPNM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah berkenan mencemar duli melawat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Sungai Besi, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 10 pagi disambut oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maslee Malik; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Dato’ Abdul Halim Jalal.

Dalam lawatan baginda ke UPNM, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga Canselor UPNM berkenan melawat Bangunan Canselori UPNM di mana satu sesi taklimat telah disampaikan oleh Leftenan Jeneral Dato’ Abdul Halim.

Di samping itu, baginda turut berkenan untuk melawat ke Pusat Maritim UPNM bagi melihat sendiri pengoperasian simulator kapal milik UPNM.

Lawatan  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini merupakan kunjungan kali pertama baginda ke UPNM.

Baginda turut berkenan melawat ke pameran yang telah dicapai oleh warga Universiti termasuk produk-produk penyelidikan, akademik dan pelajar UPNM.

Mengakhiri lawatan, baginda berangkat ke Lobi Pusat Maritim untuk sesi beramah mesra dengan pelajar-pelajar UPNM.

UPNM bermula dengan penubuhan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada 1 Jun 1995 sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjalankan program pengajian di peringkat Sarjana Muda dan latihan ketenteraan kepada Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Peranan ATMA kemudian diperluaskan dengan menjadikannya sebagai UPNM yang diwartakan pada 10 November 2006. UPNM telah ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada 21 Jun 2006 bagi mengeluarkan graduan tentera dan awam untuk keperluan pertahanan negara.

Related Articles

Leave a Reply