KUALA LUMPUR, 18 Jul – Menginjak usia 62 tahun selepas 1957, Kor Ordnans Diraja (KOD) terus mendukung keperluan logistik Tentera Darat (TD) agar dapat beroperasi dengan sebaik mungkin mengikut tempo yang diselaraskan.
Pengerusi KOD, Brigedier Jeneral Muhammad Ariff Soo Abdullah berkata pada usia 62 tahun, KOD telah menjadi satu organisasi yang berkeupayaan, kompeten dan sokongan kepada kekuatan TD.
“KOD merupakan salah satu Kor yang menyokong keperluan semua perkhidmatan dalam TD, KOD memberi bantuan seperti alat ganti bermotor, teknikal, am (alat tulis, perabot dan pakaian),
“Disamping itu, KOD turut memberi bantuan dari segi peluru dan bahan letupan serta kenderaan yang diperolehi serta dimasukkan ke depot kenderaan sebelum diagihkan,” kata Muhammad Ariff kepada pemberita selepas majlis perbarisan Hari KOD ke-62 di padang kawad Kem Batu Kentomen hari ini.
Bagi perancangan masa hadapan pegawai dan anggota KOD, kita akan terus meningkatkan tahap akademik mereka supaya lebih efektif dan berkesan.
“Manakala perancangan untuk organisasi, jemaah tertinggi KOD sedang mengkaji untuk menyusun semula unit-unit tambahan terutamanya di Markas Pemerintahan Medan Timur,
“Bagi pasukan sedia ada, kita akan menstruktur semula mengikut peredaran keperluan di mana kita akan menyusun mengikut peningkatan pangkat dan berusaha menambahbaik depot-depot yang sedia ada,” katanya.
Terdahulu semasa ucapannya ketika majlis perbarisan itu, beliau berharap KOD akan terus maju kehadapan untuk memastikan kor ini masih relevan dalam apa jua senario pada masa kini dan akan datang.
Perbarisan yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Faizal Simin turut melibatkan 21 pegawai dan 244 anggota Lain-Lain pangkat (LLP).
Turut hadir Pengarah KOD, Brigedier Jeneral Azelan Abu Bakar; mantan-mantan pengerusi dan pengarah KOD; pegawai-pegawai kanan serta veteran KOD.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua peringkat warga KOD agar sentiasa bersiap sedia serta memantapkan fizikal, mental, spiritual dan intelektual seperti mana yang telah digariskan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dalam empat teras A.S.A.S iaitu Amal, Sistem dan pemerintahan rejimental, Adaptasi dan Siapsiaga.