Home Semasa Bekas kuarters tentera Flat Sri Kuching jadi sarang penagih dadah dan maksiat

Bekas kuarters tentera Flat Sri Kuching jadi sarang penagih dadah dan maksiat

by Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Jul – Sepuluh blok flat empat tingkat Sri Kuching yang pernah digunakan sebagai kuarters tentera kini menjadi sarang penagih dadah dan pelaku maksiat sehingga membimbangkan keselamatan penduduk sekitarnya.

Lebih 2,000 penduduk Rumah Pangsa Awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Kuching yang terletak bersebelahan tidak dapat tidur lena kerana jenayah seperti kecurian motosikal sering berlaku selain kemunculan kelibat penagih dadah melepaskan gian di flat terbiar itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Awam PKNS Jalan Kuching Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata keadaan itu telah berlarutan sejak lebih 10 tahun lepas sejak flat kuarters tentera itu dikosongkan pada 2008 dengan penghuninya dipindahkan ke kem Wardieburn di Setapak.

“Sejak ia dikosongkan, bukan sahaja kawasan ini dijadikan tempat lepas gian penagih tetapi blok-blok terbiar ini telah diceroboh dan wayar, sinki aluminium dan apa sahaja barangan kitar semula yang boleh dijual dicabut dan dilarikan.

“Bahkan ‘holding’ aluminium yang menjadi pagar untuk memisahkan flat kami dengan blok-blok terbiar itu pun dicuri untuk dijual kepada kedai besi buruk,” katanya kepada Bernama.

“Kami pernah bertemu dengan pihak berkuasa seperti Kementerian Pertahanan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menyelesaikan perkara ini dan telah dijanjikan untuk menyelesaikan perkara ini namun tidak dilaksanakan.

“Bahkan aduan telah dibuat kepada pihak polis dan masalah ini dilihat terus berleluasa. Penduduk juga sudah jelik melihat perbuatan penagih dan pelaku maksiat,” katanya.

Penduduk Ridzwan Mohd Ali, 50, berkata kawasan yang dipenuhi semak samun itu agak terlindung membuatkan penjenayah boleh mengambil kesempatan.

“Selain itu golongan gelandangan turut dilihat membuang sampah merata-rata di kawasan itu selain terdapat risiko demam denggi.

“Kalau hendak roboh, roboh, jangan biarkan sahaja keadaan flat tidak terurus seperti ini kerana pelbagai jenis penyakit dan wabak boleh dibawa, sekali gus menjangkiti penduduk sekitar akibat persekitaran kotor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Anwar Mohd Zain berkata kawasan itu bukan di bawah bidang kuasa DBKL kerana ia milik Kementerian Pertahanan.

“Siasatan akan dilakukan jika kami menerima aduan namun setakat ini masih belum ada aduan lagi,” katanya – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply