Home Diskusi Tentera sebagai pendekatan terakhir

Tentera sebagai pendekatan terakhir

by Liew Chin Tong

Saya telah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 17 Julai tahun lalu. Seringkali rakan-rakan saya bertanya: “Apa yang awak buat di MINDEF (Kementerian Pertahanan)? Mesti mempunyai banyak masa lapang kerana kerja tidak begitu banyak, bukan?”

Saya pula selalu bergurau dengan anggota tentera yang saya temui: “Mesti ibu mertua awak tak tahu apa yang awak buat, betul?”. Kebanyakan daripada mereka akan tertawa sambil mengiyakan soalan tersebut.

Baru-baru ini, seorang bekas ahli politik telah menggesa untuk mengemukakan usul untuk mengkaji semula peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga meminta anggota ATM memikul tugas-tugas lain di luar bidang ketenteraan.

“Oleh kerana Malaysia tidak akan berperang dalam apa jua keadaan sekali pun, anggota tentera perlu berbakti dan menyumbang tenaga kepada masyarakat dengan cara memikul tugas-tugas lain selain dari tugas ketenteraan,” atau “Anggota tentera wanita boleh membantu dalam membersihkan rumah-rumah serta melatih suri rumah untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan mutu kualiti hidup mereka”.

Bagi saya, kata-kata sebegini menunjukkan bahawa tahap pemahaman serta kesedaran akan peranan utama pasukan tentera kita di mata masyarakat dan ahli politik adalah begitu rendah.

Akan tetapi, semasa mereka merasakan anggota ATM tidak mempunyai kerja, golongan yang sama juga mengiktiraf keupayaan dan kecekapan pasukan tentera kita untuk melaksanakan tugas-tugas yang diberi.

Tentera telah diharapkan untuk menjadi sebagai responden pertama dalam mengendalikan isu-isu domestik, ini termasuklah membanteras kegiatan pemburu haram sehinggalah menangani pencerobohan warga asing tanpa izin serta menjaga keselamatan lapangan terbang.

Di rantau Asia Tenggara, pasukan tentera telah memainkan peranan yang penting dalam sesebuah negara, walaupun seringkali memberikan hasil yang bukanlah yang terbaik kepada rakyat mereka.

Di Filipina dan Indonesia, pengaruh tentera dalam politik telah berkurangan semenjak beberapa dekad lalu. Ini terutamanya apabila langkah pendemokrasian oleh kedua-dua negara tersebut telah dilakukan pada tahun 1986 dan 1998.

Di Thailand, Myanmar, Laos dan Kemboja, pihak pemerintah masih lagi mempunyai pengaruh tentera yang begitu kuat. Sementara di Vietnam pula, pemerintahan kerajaan negara komunis dan tentera pula sentiasa berkait rapat.

Singapura pula telah memberikan fokus yang banyak kepada program khidmat negaranya semenjak tahun 1966. Natijahnya, ramai lelaki warganegara Singapura mempunyai pemahaman mengenai pasukan tentera mereka. Tahap pemahaman ini adalah hasil daripada pengalaman yang ditimba oleh mereka semasa menyertai program tersebut.

Di Malaysia, peranan tentera dalam negara telah lama digariskan dan ini telah terbukti semasa peralihan kuasa yang berlaku secara aman pada 9 Mei tahun lalu.

Peralihan kuasa secara aman ini menjadikan negara kita unik berbanding dengan apa yang dihadapi oleh sesetengah negara-negara jiran. Secara tidak langsung, situasi sebegini telah membuktikan profesionalisme ATM setanding dengan pasukan tentera lain di negara-negara yang mengamalkan demokrasi matang seperti di Australia dan United Kingdom.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita menggariskan peranan ATM dengan agensi-agensi keselamatan awam yang lain. Ini adalah bagi memastikan semua pihak boleh berkerjasama dengan baik dan saling melengkapi.

Dalam struktur keselamatan dalam negeri di Malaysia, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan pasukan yang mempunyai struktur pemerintahan berpusat, tidak seperti pasukan polis di negara-negara lain.

Sebagai contoh, di Australia, tugas kepolisan dan cegah jenayah adalah termaktub di bawah fungsi kerajaannegeri.

PDRM merupakan satu pasukan separa tentera.

Di Thailand dan Indonesia, pasukan polis baru sahaja diasingkan dari pasukan tentera mereka pada dua dekad lalu.

Dari segi struktur, susunan institusi yang digariskan telah memberikan kesan yang positif kepada kita. Akan tetapi, kelemahan pada susunan ini adalah kurangnya pemahaman akan peranan ATM pada kaca mata rakyat Malaysia.

Perkara sebegini adalah berkait rapat dengan keadaan Malaysia yang sentiasa aman terutamanya selepas Perjanjian Hatyai telah ditandatangani pada tahun 1989. Perjanjian ini telah menamatkan pemberontakan yang telah dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya.

Disebalik keamanan yang telah dikecapi oleh rakyat Malaysia sejak 30 tahun lalu, hanya berlaku beberapa insiden kecil yang tidak kurang pentingnya kepada kita semua. Namun begitu, masih ramai lagi di kalangan kita tidak mengambil kesempatan untuk berfikir sejenak akan kedudukan ATM dalam masyarakat.

Nikmat keamanan yang dikecapi selama ini sentiasa dijaga oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia – Timbalan Menteri Pertahanan. Foto: Air Times

Sedar atau tidak, nikmat keamanan yang kita kecapi selama ini sentiasa dijaga oleh ATM.

Walaupun negara kita masih aman, ATM telah banya membantu agensi-agensi lain dan juga melaksanakan tugas-tugas menjaga sempadan. Selain daripada itu, ATM turut menyumbang tenaga dalam menjaga keamanan sejagat melalui penglibatan dalam operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Jasa dan pengorbanan anggota tentera seringkali kita lupakan walhal mereka merupakan insuran kepada negara.

Malaysia telah lama mengamalkan dasar luar berkecuali semenjak era 1970-an. Walaupun ketika Perang Dingin sedang memuncak, Malaysia telah memilih jalan demokrasi dan tidak menggunakan kekuatan tentera dalam mengendalikan isu-isu diplomatik dengan negara-negara lain.

Akan tetapi, perkara sebegini bukanlah alasan untuk menolak tepi peranan dan pentingnya kesiagaan ATM untuk menghadapi sebarang ancaman peperangan mahupun konflik. Pada masa yang sama, ATM juga memainkan peranan penting dalam melaksanakan aktiviti diplomasi pertahanan dengan negara-negara lain.

Sudah pasti peranan utama pasukan tentera kita adalah dilatih dan bersedia untuk menghadapi peperangan.

Tatkala ramai yang menyangka tentera kita ‘duduk di berek dan tidak melakukan sebarang kerja’, mereka sentiasa berlatih setiap masa, melibatkan diri dalam latihan ketenteraan, menjaga perbatasan negara, melancarkan operasi yang telah dirancang serta melaksanakan tugas-tugas Operasi Tentera Selain Peperangan (Military Operations Other Than War, MOOTW) dengan agensi-agensi lain.

Anggota tentera giat berlatih tatkala ramai rakyat Malaysia menyangka mereka tidak mempunyai tugas yang banyak dan hanya berehat di berek – Timbalan Menteri Pertahanan. Foto: Air Times

Saya telah berkesempatan untuk bermalam di atas kapal KD Jebat dan KD Mahawangsa pada tahun lalu dan pengalaman tersebut telah memperkuatkan lagi keyakinan saya untuk mengusahakan kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang lebih baik kepada anggota ATM.

Selain itu, saya juga mendapat tahu bahawa KD Jebat dan KD Mahawangsa telah berlayar lebih dari sebulan sebelum saya menaiki kedua-dua kapal tersebut. Tambahan pula, sesetengah kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekurang-kurangnya telah berlayar lebih daripada 200 hari setahun.

Semasa pelayaran, anggota TLDM tidak mempunyai telefon, internet atau apa jua kemudahan komunikasi untuk menghubungi keluarga mereka ketika bertugas.

Bayangkan bagaimana perasaan mereka yang risau akan keadaan anak dan isteri di rumah, yang mungkin menghadapi cabaran seperti atap bocor, kunci rumah yang rosak dan tak kurang juga mengenai risiko jenayah yang dihadapi di kawasan tempat tinggal mereka.

Perkara yang sama turut dirasai oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan dan sempadan Malaysia-Thailand.

Semasa berjauhan dari keluarga, anggota yang bertugas diperbatasan tidak mempunyai sebarang medium komunikasi bagi mengetahui keadaan semasa mereka yang tersayang di rumah. Foto: Tentera Darat

Saya pernah melawat pos-pos kawalan ini dan menyaksikan betapa ramainya anggota tentera kita sedang giat bertugas, berjauhan dari keluarga mereka selama 6 bulan setahun. Selalunya penggiliran  tugaskan dilakukan setiap dua bulan atau lebih. Walaupun pulang ke kem, mereka tetap berkerja dari Isnin hingga Jumaat.

ATM merupakan satu organisasi yang paling tersusun dalam negara kita, yang memberikan bantuan kepada agensi-agensi lain dan melaksanakan MOOTW seperti bantuan kemanusiaan semasa bencana (Humanitarian Assistance and Disaster Relief, HADR).

Kita perlu memperjelaskan lagi peranan utama dan sekunder pasukan tentera kita serta mentakrifkan pada waktu bila mereka akan terlibat.

Kita perlu ingat bahawa penglibatan tentera merupakan jalan terakhir, jika bukan bertindak sebagai responden pertama. Seorang anggota tentera yang lengkap beruniform sudah tentu mengagumkan dan memberikan kesan cegah rintang kepada penjenayah mahupun semasa melaksanakan misi bantuan bencana. Pada masa yang sama, kita perlu memastikan agensi-agensi lain turut bersiap-sedia sebaik-baiknya dan tidak menjadikan tentera kita sebagai responden pertama untuk menangani masalah domestik.

Pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan semasa bencana merupakan salah satu jujukan Operasi Tentera Selain Peperangan (Military Operations Other Than War) – Foto: Air Times

Menggerakkan anggota tentera kita mempunyai kos tersendiri dan kos ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar oleh masyarakat mahupun pemimpin kerajaan. Ketika melaksanakan operasi di luar tugas utama, anggota tentera kita tidak mempunyai masa untuk menjalani latihan yang sewajarnya untuk mereka. Penglibatan dalam operasi luar bidang secara tidak langsung akan mencuri ruang masa mereka untuk menjalani latihan secukupnya. Akhirnya, mereka tidak mampu untuk mencapai tahap kesiagaan yang diingini terutamanya ketika waktu benar-benar memerlukan.

Negara terutamanya pihak kerajaan perlu memberikan garis panduan yang jelas dari segi keutamaan dan objektif kepada pasukan tentera kita. Sebagai masyarakat, kita perlu membuang persepsi bahawa anggota tentera merupakan sebahagian daripada kumpulan tenaga kerja murahan yang boleh diarahkan secara sesuka hati. Hakikatnya, membentuk seorang anggota tentera memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Kita memerlukan anggota tentera yang terlatih dan berkemahiran tinggi dalam menghadapi ancaman semasa yang semakin canggih. Oleh itu, kita perlu melihat bahawa anggota tentera sebagai satu tenaga kerja berkemahiran yang istimewa, bukannya tenaga kerja murahan yang boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Kita dapat melihat dua contoh jelas membuktikan salah faham mengenai peranan pasukan tentera semasa era pemerintahan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang pada ketika itu terlalu mengagungkan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) hasil garapan Professor W. Chan Khim. Kesilapan sebegini perlu dielakkan sekiranya kita mahu maju ke hadapan.

Chan Khim dalam buku “Blue Ocean Shift” pula menyatakan tentang kehebatan Tentera Darat Malaysia dalam mendirikan enam penjara di enam kem berlainan, menggunakan pasukan tentera kita untuk mendisiplinkan tahanan yang dikatakan mampu untuk mengurangkan kesesakan di penjara. Tetapi, beliau tidak mengambil kira bahawa anggota tentera bukannya dilatih untuk mengendalikan penjara setaraf walhal tugas sebegini perlu digalas oleh warden penjara yang terlatih.

Antara kesilapan lain dalam Strategi Lautan Biru ini adalah menggunakan anggota 10 Briged Para – yang merupakan salah satu pasukan elit ATM –  untuk mengawal lapangan terbang dengan alasan ‘memperagakan kehadiran’ (show of presence). Saya menarik nafas lega apabila kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan lagi usaha sebegini pada tahun lalu.

Sayangnya, Kementerian Pertahanan Malaysia pada masa lalu telah menjadi lubuk emas kepada menteri-menterinya untuk melakukan perniagaan perdagangan senjata yang bernilai berbilion ringgit, membeli peralatan-peralatan yang tidak diperlukan dan tidak diingini pasukan tentera kita. Kerahsiaan transaksi tersebut telah memberikan peluang kepada pihak kerajaan yang lalu untuk berbuat demikian. Maka, berita berkaitan pertahanan tanah air menjadi fokus umum apabila berlakunya skandal rasuah dalam perolehan tentera, yang secara tidak langsung menjadi punca mengapa masyarakat kita seringkali memandang serong terhadap ATM.

Pihak Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia perlu lebih berusaha bagi menerangkan fungsi serta peranan kedua-dua organisasi tersebut kepada umum. Foto: Air Times

Pihak Kementerian Pertahanan Malaysia dan ATM sudah tentu perlu banyak berusaha untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia termasuk ahli politik, akan peranan serta tanggungjawab kedua-dua organisasi tersebut. Kertas Putih Pertahanan (KPP) merupakan salah satu usaha besar yang dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semenjak beliau memegang jawatan tersebut. KPP yang akan dibentangkan pada lewat tahun ini bakal menjelaskan lagi peranan dan fungsi pasukan tentera kita.

Usaha sebegini merupakan satu usaha yang murni. Namun, masih banyak perkara perlu diusahakan bagi memastikan rakyat Malaysia untuk celik akan peranan pasukan tentera kita disamping menjaga integriti ATM.

**Penulis merupakan Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia. Artikel ini adalah terjemahan kepada artikel beliau yang bertajuk ‘Armed forces the last resort’. Artikel tersebut telah diterbitkan dalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris. Sebarang pertikaian/keraguan pemahaman, maksud sebenar hendaklah dirujuk pada artikel asal.

Related Articles

2 comments

Hayati pengorbanan tentera, jangan keluarkan kenyataan sesuka hati – Timbalan Menteri Pertahanan – Air Times News Network 13 August 2019 - 9:27 pm

[…] berbahasa Melayu berkenaan turut disiarkan di Air Times dan laman blog kendalian […]

Reply

Leave a Reply