Home Semasa Tujuh anggota bomba cedera ringan dalam operasi kebakaran

Tujuh anggota bomba cedera ringan dalam operasi kebakaran

by Bernama

PELABUHAN KLANG, 6 Julai – Tujuh anggota bomba mengalami kecederaan ringan dalam operasi pemadaman kebakaran membabitkan tiga buah kilang di Jalan Perigi Nanas, Pulau Indah dekat sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata, enam anggota bomba itu daripada balai bomba Pelabuhan Klang manakala seorang lagi dari balai bomba Sungai Pinang.

“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 5.37 petang, kebakaran itu melibatkan tiga buah kilang kelas A yang mana satu daripadanya terbakar sepenuhnya sementara dua lagi terbakar 50 peratus.

“Akibat operasi itu tujuh daripada 60 anggota (yang bertugas di lokasi kejadian) mengalami kecederaan ringan termasuk cedera di kaki, melecur di telinga dan terhidu gas beracun, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata dua daripada anggota itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), manakala lima lagi lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Katanya, kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya kira-kira 12.40 pagi tadi.

“Bagaimanapun buat masa ini pasukan kita masih menjalankan operasi overhaul di lokasi kejadian,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply