PELABUHAN KLANG, 9 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor telah menahan sebuah bot fiber di perairan Bagan Tengkorak, Tanjung Karang tengah hari semalam.
Pengarah APMM Negeri Selangor Kepten Maritim Siva Kumar berkata, bot fiber yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu ditahan pada kedudukan kira-kira 3 batu nautika barat daya Bagan Tengkorak berpandukan hasil risikan yang dibuat.
Menurut Siva, ketika ditahan, 2 nelayan warga Indonesia yang berumur 44 dan 29 tahun itu sedang menaikkan bubu naga ke atas bot mereka.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat 5 set bubu naga dengan anggaran nilai keseluruhan RM250 atau RM50 setiap satu set,
“Pemeriksaan lanjut mendapati, salah seorang daripada nelayan warga Indonesia itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi mempunyai dokumen pengenalan diri yang sudah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua rampasan iaitu bot, bubu naga bersama kedua-dua nelayan warga Indonesia ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,
“Pihak APMM tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang Persekutuan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian,” tegasnya lagi.
Tambahnya lagi, sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. -airtimes