Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal kargo bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Karang

APMM tahan kapal kargo bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Karang

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 20 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor berjaya menahan sebuah kapal kargo kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Karang, semalam.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang berjaya mengesan sebuah kapal mencurigakan sekitar jam 2.30 petang.

“Hasil makluman pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) kapal kargo yang tertera nama MV HAI PHUONG STAR berkenaan didapati tidak mempunyai kebenaran bersauh,

“Bot ronda APMM ketika dalam rondaan rutin telah diaturgerak ke lokasi dan berjaya menaham kapal tersebut yang berada di kedudukan lebih kurang 27 batu nautika barat daya Tanjung Karang,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kapal itu dikendalikan oleh 21 kru warga Vietnam serta kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan telah melanggar peraturan di bawah seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,

“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Katanya lagi, pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mematuhi peraturan bagi melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply