Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM kerah 15 aset sepanjang Aidilfitri

TLDM kerah 15 aset sepanjang Aidilfitri

by Bernama

SANDAKAN, 22 Mei – Sebanyak 15 aset dikerahkan oleh Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam tugas memperketatkan kawalan keselamatan di perairan timur Sabah sepanjang sambutan Aidilfitri.

Panglima Wilayah Laut 2 (Pangwilla 2) Datuk Sabri Zali berkata dua kapal beroperasi di kawasan Operasi Pasir di Sandakan, manakala satu kapal beroperasi di kawasan Operasi Daulat Benua di Tawau.

“Kami juga ada Kapal Auxiliari Tun Azizan yang bersauh antara Pulau Berhala (di Sandakan) dan Pulau Taganak (di selatan Filipina) yang sentiasa memantau situasi di kawasan sana.

“Selain itu, kami ada Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Semporna,” katanya kepada pemberita selepas rakaman rancangan khas Aidilfitri oleh RTM Sandakan bersama Pangwilla 2 di Kapal Auxiliari Tun Azizan pada Selasa.

Di samping itu, Sabri berkata 10 bot tempur juga dikerahkan untuk mengawal keselamatan sepanjang sambutan Aidilfitri.

“Saya berharap agar pegawai dan anggota yang bertugas di hari lebaran sentiasa bersabar dan saya yakin jasa dan bakti anda tidak akan sia-sia.

“Ia (tugas) dikira sebagai satu ibadah kerana membolehkan masyarakat berhari raya dengan aman dan damai di daratan,” katanya.  – Bernama

Related Articles

Leave a Reply