Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM tahan PATI warga Myanmar cuba seberang sempadan

ATM tahan PATI warga Myanmar cuba seberang sempadan

by Bernama

BUKIT KAYU HITAM, 5 Mac – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk seorang wanita yang cuba menyeberang sempadan negara melalui Bukit Kayu Hitam semalam.

Panglima 6 Briged, Datuk Abdul Aziz Ismail, berkata mereka yang berusia 19 hingga 23 tahun tersebut ditahan di beberapa lokasi antara 11.30 pagi dan 4.30 petang oleh pasukan Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5RS) yang sedang melakukan rondaan.

Tangkapan pertama pada 11.30 pagi melibatkan dua lelaki dan seorang wanita yang sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan di kawasan ladang getah, menuju ke jalan utama di Bukit Tangga.

“Selepas menyedari kehadiran anggota di kawasan itu mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam semak sebelum berjaya ditangkap dan mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya setengah jam kemudian, pasukan ronda Rejimen Sempadan yang lain menahan seorang lelaki di kawasan ladang getah berhampiran Pos 3.

Seorang lagi yang ditahan ialah lelaki etnik Rohingya yang bertindak menyerah diri kepada anggota bertugas di Pos 5 pada 4.30 petang selepas kepenatan dan kehausan di kawasan bukit berhampiran pos itu.

“Lelaki itu datang meminta air daripada anggota kita sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan,” jelasnya lagi.

Abdul Aziz berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply