Katanya, antara kejayaan ESSCOM adalah menggagalkan cubaan menyeludup 2,256 karton bir jenama Hite bernilai RM146,640 di Kalabakan, menerusi pelaksanaan pemeriksaan daratan atau ‘road check point’ (RCP).

Selain itu, pada 27 Jan lalu, Hazani berkata pihaknya turut menggagalkan cubaan menyeludup barang kawalan tanpa permit di kawasan Dermaga Pelabuhan Tawau dengan nilai rampasan lebih RM1 juta.

“Tangkapan lain termasuk menahan 15 warga Filipina cuba menyusup keluar serta rampasan 10,000 liter minyak petrol di perairan Semporna,” katanya dalam perhimpunan bulanan ESSCOM pada Isnin.

Hazani berkata kejayaan ESSCOM selama enam tahun penubuhannya itu berikutan kerjasama berterusan antara Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang berterusan bekerja keras membanteras sebarang elemen jenayah di ESSZONE.

Dalam pada itu, katanya lawatan pemimpin di peringkat pusat dan negeri ke ESSCOM menunjukkan isyarat positif bahawa kerajaan prihatin terhadap keperluan pengoperasian ESSCOM,

Sementara itu, 39 pegawai dan anggota keselamatan ESSCOM telah diberikan penghargaan mengiktiraf kejayaan mereka mengagalkan aktiviti penyeludupan di ESSZONE awal tahun ini.

Pegawai dan anggota tersebut terdiri daripada Pasukan Polis Marin Tawau (13 orang), Batalion 17 Pasukan Gerakan AM (tujuh orang), Markas Angkatan Tugas Bersama Rejimen Askar Melayu Diraja (18 orang) serta seorang anggota di Ibu Pejabat Polis Lahad Datu.- BERNAMA