Home Semasa Inkues Adib: Ada kesan tapak kasut di rusuk kanan Adib – Saksi

Inkues Adib: Ada kesan tapak kasut di rusuk kanan Adib – Saksi

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 18 Feb – Saksi kesembilan Prosiding Inkues bagi mencari punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, R. Naresh, hari ini mendedahkan terlihat kesan tapak kasut pada bahagian rusuk kanan Allahyarham pada malam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, pada November lalu.

Anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) R. Narresh, 30, berkata kesan lebam itu dilihat pada bahagian luar rusuk kanan anggota itu kerana ada tanda kemerahan di bahagian sama.

“Bila tengok merah, saya ingat ada pendarahan dan saya terus bersiap sedia dengan mengambil baju anggota bomba untuk diikat pada badannya.

“Saya juga nampak ada kesan garisan tapak kasut pada rusuk kanan (Muhammad Adib).

Saya kemudian lap dan ianya (kesan tapak kasut) hilang,” katanya ketika menjawab pertanyaan pegawai pengendali Hamdan Hamzah seperti dilaporkan Bernama.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN).

 

 

Related Articles

Leave a Reply