Home Semasa Hormati keputusan mahkamah batal saman halang pindah kuil Seafield – MB Selangor

Hormati keputusan mahkamah batal saman halang pindah kuil Seafield – MB Selangor

by M.Daim

SHAH ALAM, 14 Feb – Menteri Besar Selangor, Amirudin bin Shari menggesa agar semua pihak untuk menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membatalkan saman untuk menghalang pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield USJ 25.

“Kerajaan Negeri Selangor menggesa semua pihak yang terlibat untuk menghormati dan mematuhi keputusan penghakiman bagi menjamin ketenteraman awam dan keluhuran undang-undang,” kata Amirudin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut beliau, kerajaan Selangor mengambil maklum keputusan tersebut dan menyatakan kerajaan negeri sedia untuk berkerjasama dengan semua pihak dalam isu terbabit.

“Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi mematuhi dan melaksanakan keputusan penghakiman dan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi menjamin kesentosaan Negeri Selangor Darul Ehsan,” tambah Amirudin.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak dengan kos permohonan bagi injunksi interlocutory oleh 50 penganut Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya untuk menghalang One City Development Sdn Bhd, pemilik dan pemaju tapak kuil, daripada memasuki kawasan itu untuk tujuan perobohan.

Hakim Wong Kian Kheong membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa plaintif tidak mempunyai justifikasi yang wajar untuk tindakan terhadap pemaju dan tidak mempunyai “locus standi” di bawah Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966 untuk memulakan tindakan saman.

“Plaintif gagal menunaikan kewajipan untuk meyakinkan mahkamah bahawa wujud situasi khas dalam kes ini untuk menjustifikasi penangguhan pelaksanaan perintah. Campur tangan peguam negara adalah tidak berupa situasi khusus untuk menangguhkan saman kerana saman ini berkaitan tanah yang didaftarkan atas nama defendan kelima (One City Development).

“Pemilikan dan hak defendan kelima terhadap tanah telah diperuntukkan oleh Kanun Tanah Negara, sesungguhnya hak milik defendan kelima ke atas tanah itu dijamin oleh Perkara 13 (1) Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Kanun Tanah Negara dan undang-undang bertulis yang lain, Peguam Negara tidak mempunyai bidang kuasa ke atas tanah atau mana-mana ‘tanah milik’ untuk perkara itu,” katanya.

“Saya juga menolak apa-apa kebergantungan kepada adat Hindu sehingga menjejaskan Kanun Tanah Negara. Sesuatu adat atau pengamalan hanya dapat dilaksanakan jika dapat ditunjukkan bahawa adat atau pengamalan itu mempunyai ‘kuat kuasa undang-undang’ dan dalam kes ini, tidak ada bukti bahawa adat Hindu mempunyai kuat kuasa undang-undang.

“Dalam apa jua keadaan, apa-apa adat atau pengamalan tidak boleh mengatasi peruntukan terakam Kanun Tanah Negara mengenai hak pemilik berdaftar terhadap tanah yang dijamin di bawah Perkara 13 (1) Perlembagaan Persekutuan,” jelas Wong.

Isu pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman telah mencetuskan rusuhan pada 26 dan 27 Nov 2018  di kawasan berhampiran kuil. Insiden tersebut turut menyebabkan seorang anggota bomba, Muhamad Adib Mohd Kassim, cedera parah sementara beberapa orang lain turut cedera, 23 kenderaan dibakar dan sebahagian One City Mall mengalami kerosakan.

Pegawai Bomba Muhamad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu.

 

Related Articles

Leave a Reply